FAEDAH MENGGUNAKAN RANGKAIAN LAMAN SOSIAL
Pengenalan
Rangkaian sosial merupakan satu
perkhidmatan yang kepada pembinaan dan pengesahan rangkaian sosial dalam talian
untuk satu komuniti yang berkongsi kegemaran dan aktiviti atau bagi mereka yang
berminat untuk mengetahui kegemaran dan aktiviti orang lain. Kebanyakan
perkhidmatan rangkaian sosial adalah berasaskan web dan menawarkan pelbagai
cara interaksi antara pengguna seperti perbualan dalam talian, bertukar
pesanan, e-mel, video, perbualan suara, perkongsian fail, blog, kumpulan
perbincangan dan sebagainya.
Bartlett-bragg (2006) mendefinisikan
rangkaian sosial sebagai ruang lingkup aplikasi yang meluaskan kumpulan
interaksi dan berkongsi ruang untuk berkolaborasi, hubungan sosial dan
mengumpul pertukaran maklumat dalam persekitaran berasaskan web.
Boyd dan Ellison (2007) pula mendefinisikan
rangkaian sosial sebagai perkhidmatan berasaskan web yang membenarkan
individu-individu untuk membina profil umum atau separa-umum dalam sistem
terbatas, menyatakan senarai pengguna lain dengan orang yang mereka berkongsi
suatu hubungan, melihat dan menjelajah senarai hubungan mereka dan yang dibuat
oleh orang lain dalam sistem.
Antara
aktiviti pengguna dalam rangkaian laman sosial adalah menggabungkan
maklumat-maklumat, tag dan mentadbir maklumat, mengurus dan
menyimpan sumber maklumat, berkolaborasi dan mengawas proses untuk menyelesaikan
masalah secara khusus. Ini semua dapat dilakukan menerusi penggunaan alatan
rangkaian sosial secara efektif (Batchelder, 2010).
FAEDAH
MENGGUNAKAN RANGKAIAN LAMAN SOSIAL
1.
Menambah ilmu pengetahuan
Alatan
rangkaian sosial adalah bersifat “baca/ tulis” yang memberikan perkhidmatan
interaktif kepada pengguna dalam talian. Pengguna boleh mengawal data dan
maklumat sendiri (Maloney, 2007).
Teknologi ini menjadikan perkongsian isi kandungan dalam kalangan
pengguna menjadi lebih mudah. Pengguna dapat bertukar pandangan, cadangan dan
perkongsian ilmu baru melalui rangkaian alam maya ini. Maklumat di hujung jari
boleh diperoleh melalui perkongsian tersebut.
Melalui
rangkaian laman sosial ini juga pengguna boleh mengakses maklumat, berita dan kajian
terbaru dengan lebih mudah. Contoh laman sosial yang menyediakan maklumat
berguna ialah Social Bookmarking. Laman tersebut mencipta satu set bahan
sumber yang boleh dicapai pada mana-mana komputer yang dihubungkan dengan
internet, mengendalikan penyelidikan dan berkongsi dengan pengguna lain.
2.
Mempelajari kebudayaan dan bahasa baru
Pengguna
boleh mempelajari bahasa baru melalui aplikasi yang disediakan dan juga melalui
pergaulan secara alam maya. Hal ini kerana, laman sosial tidak terikat kepada
satu-satu negara atau bangsa tetapi ia merangkumi seluruh dunia yang mempunyai
jaringan internet di seluruh dunia. Oleh itu, peluang untuk berkawan dan
mempelajari bahasa dan kebudayaan orang lain menjadi sangat mudah dan cepat.
3.
Mengeratkan hubungan kekeluargaan
Kewujudan
laman sosial ini telah memudahkan komunikasi walaupun jarak jauh. Malah
rangkaian laman sosial ini membolehkan individu untuk berkongsi aktiviti
seharian yang berlaku pada hari tersebut dan ini membolehkan keluarganya untuk
mengetahui perkembangan. Contohnya Facebook, membolehkan individu untuk
berkongsi peristiwa, gambar dan fikiran atau pandangan pada masa yang tepat
dengan mudah dan cepat. Keluarga dan rakan boleh mengetahui perkara tersebut
apabila status tersebut dimuat turun. Malah laman sosial juga menyediakan aplikasi
untuk membolehkan pengguna berkomunikasi secara alam maya.
4.
Menambah rakan dan kenalan
Aplikasi
yang disediakan dalam laman sosial membolehkan pengguna untuk menambah rakan
dan juga kenalan baru. Aplikasi ini telah menjadikan interaksi lebih luas dan
terbuka di kalangan pengguna. Mereka boleh berkenalan, berkongsi pandangan dan
ilmu pengetahuan. Pengguna juga dapat meningkatkan kemahiran untuk
berkomunikasi dan bertimbang rasa dengan menerima pendapat dan kritikan
daripada rakan dan kenalan yang baru. Keadaan ini secara tidak langsung telah
membantu individu dalam pembentukan kendiri dirinya terutamanya dalam aspek
kemahiran untuk berkomunikasi dan bergaul dengan orang lain walaupun tidak
saling mengenali.
5.
Menyediakan peluang perniagaan
Laman sosial
seperti twitter dan Facebook menyediakan peluang untuk meluaskan perniagaan secara
online. Laman tersebut boleh
dijadikan sebagai satu medium untuk mempromosi barangan yang ingin diniagakan
tanpa mengeluarkan kos untuk sebarang poster bagi sesuatu iklan. Malah
penggunaan laman sosial tersebut dapat menarik minat orang ramai untuk mencuba
barangan atau perkhidmatan yang disediakan. Laman sosial membantu untuk
meluaskan perniagaan dengan kos yang murah.
6.
Menjadi medium pengajaran dan pembelajaran
Integrasi
alatan rangkaian sosial boleh dimanfaatkan oleh guru untuk meningkatkan
pembelajaran pelajar dan memudahkan pembangunan kemahiran sepanjang hayat
seperti kolaborasi, pemikiran kreatif dan pembinaan pengetahuan. Menurut
Batchelder (2010), pengalaman dan aktiviti-aktiviti rangkaian sosial turut
memberi pengetahuan baru kepada pelajar tentang sesuatu konsep berdasarkan
aktiviti dan keinginan mencari maklumat yang berterusan.
Penggunaan
media sosial seperti Edmodo membolehkan para guru/ pensyarah untuk memuat naik
tugasan/bahan pengajaran untuk pelajar ke dalam laman sosial. Dengan ini,
pelajar akan memberikan maklum balas tentang jawapan atau masalah yang mereka
hadapi dalam menyelesaikan masalah serta merta. Kelas maya ini juga memberi
peluang kepada pelajar untuk berkolaborasi bersama guru dan rakan-rakan mereka
tidak kira masa dan di mana sahaja asalkan ada talian internet
Aplikasi-aplikasi
pembelajaran rangkaian sosial yang sering digunakan ialah Google Drive, Frog
VLE, Edmodo, Nicenet, I Think, Google Groups, Einztein, dan Busuu.
7.
Merangsang pemikiran kreatif dan inovatif pengguna
Penggunaan
alatan rangkaian sosial menyokong pembentukan minda kreatif dan kolektif.
Pemikiran kreatif yang maju ke hadapan selalunya merupakan hasil daripada
pengetahuan yang kolektif yang terbentuk melalui perkongsian idea dan
pengetahuan antara individu-individu secara bebas bagi mendapatkan keputusan
yang terbaik. Pengetahuan yang dikongsi secara kolektif ini terus berkembang
dan berubah hasil pertanyaan dan penambahbaikan berterusan bersama-sama para
penyumbangnya. Kreativiti, pemikiran aras tinggi dan pembinaan pengetahuan
boleh digalakkan menerusi aplikasi, produksi dan penerbitan yang direka bentuk
dengan baik (Nelson et. al, 2009).
8.
Meningkatkan kemahiran ICT
Aplikasi-aplikasi
baru yang disebarkan melalui laman sosial akan menarik minat individu dan meningkatkan
rasa ingin tahu. semangat untuk belajar akan meningkat dan individu akan
berusaha untuk belajar dan meningkatkan kemahiran bagi menguasai aplikasi yang
sedia ada dan juga aplikasi baru. pengetahuan yang tinggi membantu individu
untuk membina sistem keselamatan yang sukar di ceroboh oleh pengguna laman
sosial yang lain. malah kemahiran baru ini membolehkan individu untuk
membangunkan aplikasi baru yang boleh dipasarkan dan mendatangkan faedah kepada
orang lain.
Comments
Post a Comment